Saturday, 14 April 2012

KKP - Teknologi Pengajaran ( Model ASSURE )

Senarai Kandungan                                                                                              Muka Surat

1.0    Pengenalan ……………………………………………………………...        3

2.0    Prinsip Teknologi Pengajaran …………………………………………..          3

3.0    Reka Bentuk Pengajaran ………………………………………………..        4

4.0    Media Pengajaran ……………………………………………………….      10

5.0    Model ASSURE ………………………………………………………...     12

5.1    Analisis Pelajar …………………………………………………                  13
5.2    Nyatakan Objektif / Hasil Pembelajaran ……………………….                    15
5.3    Pemilihan Kaedah Media dan Bahan Sumber ………………….                     17
5.4    Gunakan Media dan Bahan Sumber ……………………………                    18
5.5    Libatkan Pelajar dalam Pembelajaran ………………………….                     19
5.6    Nilai dan Semak Semula ………………………………………..                    20

6.0    Penutup ………………………………………………………………….        21

7.0    Rujukan ………………………………………………………………….        22

8.0    Lampiran …………………………………………………………………        23







1.0    Pengenalan.

Berdasarkan tajuk tugasan yang perlu dibincangkan merujuk kepada mata pelajaran Teknologi Pengajaran yang telah dipelajari, perkara yang perlu dikupas terlebih dahulu bagi memahami dengan sejelas-jelasnya konsep sebenar, sebelum penerangan terperinci dilakukan ialah berkenaan dengan prinsip teknologi pengajaran dan media pengajaran, pemilihan media serta penghasilannya. Huraian yang dibuat adalah merujuk kepada beberapa sumber bahan rujukan yang dikenalpasti dapat membantu penghasilan media pengajaran yang lebih baik dan berkualiti serta berkesan kepada pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

2.0    Prinsip Teknologi Pengajaran.

2.1    Apakah domain yang terkandung dalam bidang teknologi pengajaran? Yusup Hashim (1998).

Mengikut Seels dan Richey (1994), teknologi pengajaran mencakupi lima domain utama yang menjadi asas dan struktur kepada bidang teknologi pengajaran. Lima domain yang dimaksudkan adalah:

2.2    Apakah kesan teknologi pengajaran terhadap kurikulum dan pengajaran? Yusup Hashim (1998).

Teknologi pengajaran mempunyai kesan yang signifikan terhadap struktur pendidikan terutama kurikulum dan pengajaran. Mengikut AECT (1979), kesan teknologi pengajaran boleh diperhatikan melalui tiga cara iaitu:

i.    Teknologi pengajaran mengubah peringkat membuat keputusan.
ii.    Teknologi pengajaran membentuk empat jenis pola pengajaran iaitu:
1)    Hubungan antara guru dengan pelajar
2)    Guru dengan bahan pandang dengar
3)    Guru dengan sistem pengajaran dan media
4)    Media pengajaran sahaja (tiada peranan guru)
iii.    Teknologi pengajaran mengubahkan sistem atau pendekatan pendidikan.
iv.    Teknologi pengajaran juga boleh mengubah cara pengajaran dirancang dan disusun.

3.0    Reka Bentuk Pengajaran.

Reka bentuk pengajaran dan pembinaan bahan adalah merupakan satu disiplin khusus dan mengikut Richey (1986) dan Reigeluth (1983) reka bentuk pengajaran harus dianggap sebagai sains pengajaran.

    Yusup Hashim (1998), berdasarkan kepada pengalamannya; terdapat dua keadaan atau situasi dimana masih terdapat guru yang masih keliru atau kurang jelas tentang reka bentuk pengajaran kerana komponen-komponen pengajaran yang terdapat dalam reka bentuk pengajaran tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh guru. Situasi yang dimaksudkan oleh beliau ialah:
i.    Semasa pengajaran dilakukan, ada di antara mereka yang mengajar tidak mengikut objektif pembelajaran yang harus dicapai oleh pelajar selepas tamat pengajaran, dan
ii.    Ada pula yang memberi ujian tanpa berlandaskan kepada objektif pembelajaran.

Noriati A.Rashid (2009), dalam bukunya yang diambil dari Yusup Hashim (1998) menyatakan, konsep reka bentuk pengajaran dapat dikategorikan kepada tiga reka bentuk pengajaran sebagai satu:

i.    PROSES ( Briggs, 1977 )
ii.    DISIPLIN ( Duffy dan Jonasen, 1991 )
iii.    SAINS ( Richey, 1986 )

3.1    Apakah reka bentuk pengajaran dan pengembangan/pembinaan pengajaran? Yusup Hashim (1998).

Teori / Pendapat / Maksud /Fungsi    Reka Bentuk Pengajaran    Pengembangan/Pembinaan
Yusup Hashim (1998)    Suatu proses untuk membina bahan pengajaran seperti modul bercetak, video pengajaran, perisian komputer pengajaran dan sebagainya.   
Apabila membina bahan ia melibatkan proses reka bentuk pengajaran dan proses pengembangan pengajaran.

Seels dan Richey (1994)    Proses menyatakan spesifikasi  syarat untuk belajar yang mencakupi aktiviti reka bentuk:
1.    SISTEM pengajaran
2.    MESEJ
3.    STRATEGI pengajaran
4.    ciri-ciri PELAJAR   
Proses menggunakan spesifikasi reka bentuk untuk membina bahan teknologi cetak, teknologi pandang dengar, teknologi berasaskan komputer, dan teknologi bersepadu.

AECT (1977)
membandingkan yang mana lebih besar di antara reka bentuk pengajaran dan pengembangan pengajaran.   
Reka bentuk pengajaran adalah lebih kecil daripada pengembangan pengajaran kerana reka bentuk pengajaran adalah salah satu daripada beberapa peringkat reka bentuk dalam pembinaan  atau pengembangan pengajaran.
    Satu cara sistematik untuk mereka bentuk, membina, menilai dan menggunakan seluruh sistem pengajaran.
Kemp (1989)   
Elemen yang digunakan untuk reka bentuk pengajaran boleh juga digunakan untuk pengembangan atau membina bahan pengajaran. Ini menunjukkan tiada perbezaan di antara reka bentuk pengajaran dan pengembangan pengajaran.

Reigeluth (1983)   
Satu disiplin memberi kepentingan kepada kefahaman, peningkatan dan aplikasi kaedah-kaedah pengajaran. Menumpukan kepada pernyataan kaedah-kaedah pengajaran iaitu menetapkan spesifikasi dan kriteria yang diperlukan untuk meningkatkan proses pengajaran ke tahap yang diharapkan.
    Memberi kepentingan kepada kefahaman, peningkatan dan aplikasi kaedah-kaedah untuk membina pengajaran. Menumpukan kepada cara-cara membina pengajaran yang akan menunjukkan langkah atau prosedur untuk membina atau menghasilkan bahan pengajaran atau seluruh sistem pengajaran.
Gustafon (1991)   
Suatu cara sistematik mereka bentuk, membina, menilai, dan menggunakan seluruh proses pengajaran.
    Aktiviti-aktiviti pengeluaran bahan.

3.2    Model Reka Bentuk Pengajaran

Menurut Yusup Hashim (1998), terdapat banyak model reka bentuk pengajaran dan kebanyakan model yang digunakan mempunyai elemen yang sama.  

       Di dalam kajian tugasan taksiran atau kerja kursus pendek ini tumpuan utama yang diambil kira dalam menentukan pemilihan media yang berkesan ialah dengan merujuk kepada model yang berorientasikan bilik darjah memandangkan tugas guru adalah sebagai pelaksana sistem. Oleh yang demikian, guru tidak perlu merancang dan menggubal kurikulum, tetapi perlu memilih media atau bahan sumber yang sesuai untuk melaksanakan kurikulum tersebut.

Antara beberapa contoh model reka bentuk pengajaran yang berorientasikan bilik darjah ialah model Gerlach dan Ely (1980), model ASSURE (1996), model Kemp (1985), dan model Dick dan Reiser (1989).

Hasil kajian dan analisa yang dibuat mendapati bahawa model ASSURE (1996) yang dikemukakan oleh Heinich et al. (1982) merupakan model yang paling sesuai digunakan untuk merancang pengajaran-pembelajaran dalam bilik darjah. Semua guru dapat memanfaatkan dan menggunakan model ini untuk merancang pengajaran-pembelajaran yang efektif. Berikut adalah perbezaan maksud dan konsep bagi menerangkan reka bentuk pengajaran dalam bilik darjah berdasarkan beberapa model yang tersebut :
Model ASSURE (1996)    Model ADDIE    Model Dick dan Reiser (1989)
Terdapat 6 langkah iaitu:
1.    A - Analyse Leaner (analisis ciri pelajar)
2.    S – State Objectives (nyatakan objektif)
3.    S – Select Method, Media and Materials (pilih kaedah, media dan bahan)
4.    U – Utilise Media and Materials (gunakan media dan bahan)
5.    R – Require Learner Response/ Participation (libatkan pelajar dalam proses pembelajaran)
6.    E – Evaluate and Review or Revise  Materials ( nilai serta semak semula bahan)    Terdapat 5 peringkat:
1.    A – Analysis (analisis)
2.    D – Design (reka bentuk)
3.    D – Development (perkembangan)
4.    I – Implementation (pelaksanaan)
5.    E – Evaluation (penilaian)    Terdapat 8 langkah:
1.    Tentukan matlamat
2.    Analisis ciri pelajar
3.    Tulis objektif
4.    Pilih/semak buku teks
5.    Bina ujian
6.    Bina aktiviti pengajaran
7.    Pilih media pengajaran
8.    Laksana pengajaran



        A        S        S        U        R        E

                       Pilih MEDIA


3.3    Penggunaan Reka Bentuk Pengajaran Dalam Sistem Pengajaran.

Dalam model ini, elemen dalam sistem reka bentuk pengajaran dan pembinaan media/bahan disatukan untuk memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran.

                Peringkat I    – menentukan isi pelajaran
   
                Peringkat II    – membina     MEDIA     pengajaran
 Model sistem
  reka bentuk                 Peringkat III    – merancang pengajaran
       pengajaran bersepadu
                Peringkat IV    – pelaksanaan pengajaran

                Peringkat V    – proses pembelajaran
Perkara yang ditekankan disini ialah pada Peringkat II iaitu membina MEDIA pengajaran. Tumpuan terhadap pembinaan media pengajaran ini melibatkan sembilan langkah utama, Yusup Hashim (1997) iaitu:
i.    Menentukan perkara dan isi pelajaran
ii.    Analisis pelajar
iii.    Menentukan matlamat pengajaran
iv.    Membuat analisis pengajaran
v.    Menyatakan objektif-objektif pengajaran
vi.    Membina strategi pengajaran
vii.    Pilih / baiki / bina bahan
viii.    Membina ujian kriteria
ix.    Penilaian bahan

4.0    Media Pengajaran

Istilah “media pengajaran” membawa maksud sebagai peralatan atau perkakasan dan bahan (perisian) media yang telah dikenal pasti (dipilih), dibina atau dipinda untuk menyokong atau mengendalikan sendiri proses pengajaran dan pembelajaran, Yusup Hashim (1997).

Media dalam pengajaran memainkan peranannya dalam menyokong proses pengajaran dalam bilik darjah. Media merupakan alat yang dapat membantu guru meningkatkan proses pengajaran dan menyediakan bahan untuk pembelajaran murid. Gabungan kombinasi guru dan media merupakan medium perantara yang paling berkesan bagi memastikan objektif pengajaran dapat disampaikan kepada pelajar.

Torkelson (1972) membahagikan media kepada tiga komponen iaitu mesej, bentuk mesej dan saluran mesej. Tindakbalas, tingkah laku dan respons pelajar memberikan maklum balas yang sangat penting kepada guru bagi mengetahui sama ada mesej telah diterima dan difahami atau sebaliknya. 

Reka bentuk mesej adalah sangat penting bagi memastikan mesej tersebut benar-benar dapat difahami dan ianya bergantung kepada jenis pemilihan media yang dipilih dan dibuat. Media yang sesuai digunakan bermula daripada pengalaman langsung hingga kepada penerangan verbal atau bahasa yang digunakan, Edgar Dale (1969).

Gagne dan Briggs (1974) pula berpendapat bahawa pemilihan media yang sesuai berdasarkan kepada rangsangan fizikal media berkenaan dapat dibahagikan kepada enam kategori iaitu:
1.    Perkataan / struktur bahasa
2.    Bentuk bunyi bukan bahasa
3.    Perkataan bercetak
4.    Gambar statik
5.    Gambar bergerak
6.    Sampel sebenar

4.1    Pemilihan media dan bahan sumber.

Noriati A.Rashid (2009), menyatakan bahawa pemilihan media melibatkan perancangan pengajaran yang baik dan terancang serta proses-proses pemilihan media yang merangkumi beberapa perkara, antaranya ialah:
i.    Penentuan kaedah
ii.    Pemilihan format media
iii.    Pemilihan bahan sumber
iv.    Gunakan media dan bahan sumber
v.    Libatkan pelajar dalam pembelajaran
vi.    Nilai dan semak semula





5.0    Model ASSURE   

Hasil daripada kajian yang telah dibuat oleh pakar-pakar dalam bidang teknologi pengajaran dan pembelajaran mendapati model ASSURE adalah model yang paling baik dan sesuai digunakan dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran serta mereka bentuk pengajaran dalam bilik darjah.
   
Model ASSURE melihat media sebagai satu bahan sumber yang paling penting bagi memastikan setiap objektif pelajaran mahupun maklumat dapat disampaikan terus kepada pelajar secara berkesan dan pelajar faham tanpa rasa ragu. Bagaimanapun, ianya memerlukan perancangan yang sangat rapi dan teliti dari sudut susun atur pengajaran ke arah proses pembelajaran yang lebih berstruktur dan dinamik. Ini selaras dengan pandangan Gagne’ (1985) yang menyatakan bahawa pembelajaran berlaku sebagai satu proses yang berkembang  dan ianya perlu disusun secara berperingkat-peringkat.

    Untuk itu, bagi menghasilkan satu bentuk rancangan pengajaran dan pembelajaran dalam memanfaatkan penggunaan media yang lebih baik melalui model ASSURE ini, guru perlu mengaplikasikan bersama-sama sembilan peringkat penyampaian pengajaran selaras dengan proses pembelajaran yang dikenali sebagai “Events of Instruction” seperti mana yang terkandung dalam teori Gagne’ (1985). Peringkat-peringkat berkenaan adalah sebagaimana yang berikut:
1.    Tarik perhatian pelajar
2.    Beritahu pelajar objektif pembelajaran
3.    Cungkil dan kaitkan pengetahuan sedia ada pelajar
4.    Sampaikan isi pelajaran/bahan pengajaran dan pembelajaran
5.    Bimbing pembelajaran pelajar
6.    Uji penguasaan pembelajaran pelajar melalui aktiviti
7.    Beri maklum balas tentang penguasaan pembelajaran pelajar
8.    Taksir pencapaian pembelajaran
9.    Tingkatkan ingatan dan pemindahan pembelajaran.

Dalam menyediakan reka bentuk pengajaran berasaskan bilik darjah berdasarkan model ASSURE, semua guru perlu mengambil kira proses penyampaian pengajaran yang dikemukakan oleh Gagne’ (1985). Ini adalah kerana proses penyampaian yang sempurna akan bermula dengan menganalisis keperluan pelajar untuk menjamin penyampaian yang boleh membawa kepada pencapaian matlamat. Model ASSURE ini antara lainnya menumpukan kepada perancangan pengajaran pembelajaran sebenar dalam bilik darjah. Model ini akan dapat membantu guru merancang pengajaran berasaskan media dalam bilik darjah masing-masing. Dengan kata lainnya, model ASSURE ini sangat berguna kepada guru dalam proses menyediakan Rancangan Persediaan Mengajar (RPM) atau Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi setiap mata pelajaran.

Maklumat yang diterima daripada Guru Kelas Tahun 2 Dedikasi iaitu Pn Suzana Abd Rahman, dan pengalaman sedia ada guru dengan pelajar mengenai pelajar-pelajarnya ialah seperti berikut :

Nama Kelas        : Tahun 2 Dedikasi
Bilangan Pelajar    : 30 orang
Tahap Akademik     : Sederhana
Lokasi Sekolah    : Luar Bandar / Kampung
Jenis Sekolah        : Sekolah Kebangsaan
Mata Pelajaran    : Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
Tajuk Pengajaran    : “Pergerakan Lokomotor”
Masa Pengajaran     : 30 minit.

5.1    Analisis Pelajar

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh guru ialah menganalisis pelajar. Proses ini dilakukan bagi memilih strategi, bahan sumber, dan media yang paling wajar digunakan dan dilaksanakan untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dalam situasi pembelajaran yang sebenar. Pelajar dapat dianalisis berdasarkan kepada aspek-aspek berikut:


5.1.1    Ciri-ciri Umum Pelajar

Pemilihan media yang dibuat adalah sangat bersesuaian dengan ciri-ciri umum pelajar berdasarkan kepada umur pelajar tahun dua sekolah rendah iaitu lapan tahun. Sukatan dan isi kandungan pengajaran dan pembelajaran dirangka untuk semua pelajar tahun dua dari semua aliran kelas dan pelbagai kaum serta bangsa, baik lelaki mahupun perempuan. Ianya melibatkan semua pelajar bandar dan luar bandar yang datang dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira taraf sosioekonomi pelajar-pelajar tersebut kerana guru perlu membimbing pelajar tanpa mengira pangkat atau darjat, ras mahupun jantina mereka. Bagi melaksanakan aktiviti ini, pemilihan kaedah pengajaran menggunakan media berbentuk “power point” dan “video” pendek berkenaan topik yang diajar iaitu “pergerakan lokomotor” dijangka dapat membantu pelajar memahami isi kandungan pengajaran dengan lebih jelas melalui penggunaan bahasa yang mudah difahami, gambar-gambar gerakan yang jelas menggambarkan pergerakan sesuatu aktiviti sebagai bukti konkrit kepada tayangan video sebenar pergerakan yang dilakukan. Penggunaan media sebagai alat bantu mengajar (ABM) ini penting bagi pemahaman murid sebelum aktiviti gerakan sebenar di padang dilakukan. Ini dapat memudahkan dan melancarkan lagi tugas-tugas guru sebagai pemudah cara. Secara tidak langsung, aktiviti dalam bilik darjah ini dapat menarik minat pelajar dan merangsang minda mereka bahawa setiap pergerakan yang murid lakukan membawa maksudnya yang tersendiri.

5.1.2    Pengetahuan / Pengalaman Sedia Ada

Sebelum pembelajaran dilakukan, guru menguji pelajar dengan cara menyoal pelajar mengenai tajuk “pergerakan lokomotor” yang akan diajar dan disampaikan di dalam kelas. Proses ini dapat membantu guru untuk mengenalpasti sejauhmana tahap pengetahuan semasa pelajar berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar mengenai gerakan-gerakan yang pelajar sendiri pernah lakukan sebelum ini sama ada dalam pergerakan yang biasa atau dalam permaianan yang pelajar telah lakukan. Ini dapat membantu guru untuk memilih pengisian sumber pembelajaran yang paling sesuai dan kaedah yang berkesan.
5.1.3    Gaya Pembelajaran Pelajar

Melalui gaya pembelajaran pelajar, guru dapat mengenalpasti tahap keupayaan pelajar dalam memahami konsep “lokomotor”. Setiap orang pelajar adalah berbeza-beza dari sudut pemprosesan dan kecerdasan mereka menerima rangsangan maklumat yang disampaikan. Interaksi antara guru dan pelajar sangat penting bagi guru untuk memahami emosi pelajar dalam persekitaran pembelajaran bilik darjah. Keadaan ini akan mempengaruhi cara pelajar tersebut memproses maklumat dan membentuk persepsi, seterusnya menjadikan pembelajaran lebih lancar dan efektif. Tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada pelajar Tahun 2 Dedikasi ini yang tahap kecerdasannya sederhana bagi memastikan semua pelajar faham maksud “pergerakan lokomotor” yang sebenar.

5.2    Nyatakan Objektif / Hasil Pembelajaran

Objektif pengajaran dan pembelajaran mestilah spesifik iaitu jelas. Objektif utama guru bagi tajuk “pergerakan lokomotor” ini ialah, pada akhir pembelajaran;

a.    Pelajar dapat memahami dan menyebut dengan jelas maksud pergerakan.
b.    Pelajar dapat memahami dan menyebut dengan jelas maksud lokomotor.
c.    Di akhir pembelajaran, pelajar dapat menyatakan serta menyenaraikan dan menulis dengan jelas sekurang-kurangnya tiga daripada lima pergerakan lokomotor melalui sesi soal jawab antara guru dengan pelajar hasil daripada penggunaan media yang dipilih iaitu persembahan slaid power point dan tayangan video pendek pergerakan lokomotor yang mana bahan pengajaran dan pembelajaran tersebut dibina dan dibuat sendiri oleh guru.

Walaupun pada dasarnya, merujuk kepada konsep bilik darjah yang mana guru hanya perlu memilih bahan bukan membina bahan yang lebih berpusatkan kepada sistem, pembinaan bahan ini dibina adalah disebabkan oleh faktor pelajar yang mendorong guru berusaha sedaya upaya bagi menyampaikan pengajaran yang lebih berkesan kepada pelajar Tahun 2 Dedikasi.

Pernyataan objektif yang jelas secara tidak langsung dapat membantu guru memilih media dan kaedah penyampaian yang sesuai. Seterusnya guru dapat menentukan langkah-langkah dalam merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Dengan itu, guru dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang dapat merangsang minda pelajar. Pada akhirnya, guru dapat membuat penilaian terhadap pencapaian pelajar-pelajar.

5.2.1    Siapakah yang Akan Mencapai Objektif?

Tumpuan utama yang perlu diberi perhatian ialah semua pelajar-pelajar dalam kelas Tahun 2 Dedikasi. Ini adalah kerana objektif yang dimaksudkan adalah berkait dengan pembelajaran dalam bilik darjah bukan pengajaran oleh guru. Kejayaan ini hanya dapat dicapai melalui aktiviti yang yang dilakukan oleh guru dalam bilik darjah dan pelajar-pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti tersebut.

5.2.2    Bentuk Tingkah Laku Baharu

Merujuk kepada apa yang hendak dicapai oleh guru dalam pengajarannya dalam kelas Tahun 2 Dedikasi ialah melalui perkataan penegasan yang menggambarkan nilai atau nisbah ukuran yang berjaya dicapai oleh murud bagi maksud kejelasan isi dan bahan media yang disampaikan dan digunakan oleh guru benar-benar berkesan. Perkataan penegasan dalam objektif guru bagi tajuk pergerakan lokomotor ini ialah menyebut, menyatakan, menyenaraikan dan menulis.

5.2.3    Situasi atau Syarat Perlakuan

Ianya berdasarkan kepada bagaimana sesuatu objektif yang dinyatakan oleh guru pada awal pengajarannya dapat dicapai pada akhir pembelajaran pelajar. Selepas penggunaan media “power point” atau media tayang tidak bergerak di persembahkan kepada pelajar, pelajar seterusnya dapat memahami pergerakan sebenar sepertimana yang ditunjukkan dalam “video” pendek pergerakan lokomotor dan guru mengharapkan penggunaan media-media ini lebih membantu murid untuk lebih mudah faham.

5.2.4    Darjah Tahap Pencapaian Minimum Perlakuan

Jelas dinyatakan dalam huraian objektif guru yang ketiga iaitu “Di akhir pembelajaran, pelajar dapat menyatakan serta menyenaraikan dan menulis dengan jelas sekurang-kurangnya tiga daripada lima pergerakan lokomotor…….”

5.3    Pemilihan Kaedah Media dan Bahan Sumber

Langkah ketiga ialah penggunaan media yang dipilih dengan teliti secara sistematik dan terancang oleh guru berdasarkan tahap pencapaian dan kecerdasan pelajar Tahun 2 Dedikasi dalam pengajaran dan pembelajaran bilik darjah adalah satu perancangan yang sangat baik  dan sangat membantu guru dan pelajar. Proses ini memerlukan penumpuan yang jitu berikutan faktor keadaan pelajar yang sememangnya berada pada tahap sederhana yang memerlukan pendekatan yang lebih mudah dan ringkas dalam pengajaran dan pembelajaran. Proses pemilihan kaedah media dan bahan sumber ini melibatkan tiga langkah berikut ;

5.3.1    Penentuan Kaedah

Kaedah yang dipilih ini adalah bersesuaian dengan pelajar Tahun 2 Dedikasi berdasarkan analisis awal yang telah dibuat oleh guru kelas dan guru mata pelajaran. Analisis awal yang dimaksudkan meliputi cirri-ciri pelajar, pengalaman sedia ada mereka dan gaya pembelajaran pelajar. Guru telah sedia maklum bahawa tidak semua pelajar-pelajar boleh membaca dan menulis dengan baik. Maka dengan itu, kaedah pengajarana berbentuk gambar dan video adalah merupakan satu simulasi dan tunjuk cara yang paling sesuai dengan tahap pengetahuan dan pengalaman pelajar.

5.3.2    Pemilihan Format Media

Format media yang diguna pakai dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas Tahun 2 Dedikasi ini dijangka dapat menarik minat pelajar untuk belajar dan menumpukan perhatian dalam bilik darjah. Terdapat dua format media yang dipilih dan digunakan oleh guru iaitu “power point” dan “video” pendek.” Kumpulan sasaran guru adalah pelajar Tahun 2 Dedikasi yang mempunyai bilangan pelajrnya seramai 30 orang.

5.3.3    Pemilihan Bahan Sumber

Gambar-gambar pergerakan lokomotor yang dirakam sendiri oleh guru digunakan sebagai bahan utama bagi sesi penyampaian dan penerangan tajuk pergerakan lokomotor kerana ianya dapat menarik minat pelajar dan pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya di dalam bilik darjah. Gambar-gambar tadi kemudiannya disusun dan dirakam semula dalam bentuk video untuk tayangan kepada pelajar di dalam kelas. Kos bahan yang dilibatkan adalah sangat berpatutan walaupun pada dasarnya guru tidak digalakkan untuk membina sumber kerana ditakuti ianya akan melibatkan kos yang tinggi. Guru hanya perlu menyumbang tenaga, keringat dan masa bagi menjadikan fantasi itu satu realiti dan menjadi satu kepuasana bilamana objektif pengajaran guru di dalam kelas tercapai.

5.4    Gunakan Media dan Bahan Sumber

Guru dan pelajar bersama-sama dapat memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media dan bahan sumber ini serta berjaya menggunakan media yang dipilih ini dengan sebaik mungkin bagi kegunaan pelajar dalam proses pembelajaran dan bagi kemudahan guru dalam proses pengajaran. Media ini digunakan dengan cara tayangan slaid power point kepada pelajar. Di dalam slaid power point ini, guru menyusun gambar-gambar secara berturutan menceritakan setiap satu pergerakan dari mula hingga akhir proses. Kemudiannya, pelajar akan dipersembahkan dengan satu tayangan video bergerak yang menceritakan semula proses perlakuan atau pergerakan sebenar gambaran awal tadi. Tayangan video ini akan dibuat sekurang-kurangnya sebanyak dua kali dan boleh tiga kali, tetapi bergantung kepada jangkaan masa yang telah dirancang. Penentuan kejayaan penggunaan media dan sumber yang dipilih oleh guru serta proses menulis refleksi bergantung kepada tindakan-tindakan awal guru sepertimana yang berikut;

5.4.1    Semak/pratonton/kaji bahan sumber sebelum digunakan di dalam kelas
5.4.2    Sediakan bahan untuk penggunaan dalam kelas
5.4.3    Sediakan persekitaran yang sesuai untuk penggunaan
5.4.4    Sediakan pelajar untuk mendapat manfaat daripada bahan sumber
5.4.5    Sediakan pengalaman pembelajaran bagi pelajar

5.5    Libatkan Pelajar dalam Pembelajaran

Penerangan pengajaran dalam bentuk media iaitu power point dan video ini dikendalikan oleh guru sepenuhnya semasa di dalam kelas. Pelajar diajar melalui gambar-gambar pergerakan dalam tayangan slaid power point. Pelajar dikehendaki mengikut dan melakukan aktiviti pergerakan sepertimana yang ditunjukkan di dalam gambar. Guru melibatkan pelajar dalam kelompok yang kecil dan besar bagi setiap aktiviti termasuklah semasa sesi soal jawap dan perbincangan. Dalam erti kata lain, pelajar dikehendaki melakukan pergerakan yang mudah secara berkumpulan. Ini akan membentuk pelbagai variasi dan rangsangan yang diterima oleh pelajar. Guru akan memberikan maklum balas terus kepada pelajarnya sebaik sahaja pelajar berjaya melakukan pergerakan tersebut. Reaksi positif yang ditunjukkan oleh guru akan menjamin minat dan penglibatan pelajar dalam aktiviti yang dilakukan secara berterusan, bukan untuk kelas pada hari tersebut, malahan untuk kelas-kelas yang seterusnsya juga. Selepas tayangan video dibuat, guru akan menyoal pelajar mengenai pergerakan-pergerakan lokomotor yang terdapat di dalam tayangan video yang berkenaan. Tayangan video yang dibina dan dibuat oleh guru diterjemahkan kedalam bentuk slaid power point dan pelajar sepatutnya boleh menyebut dengan jelas nama-nama pergerakan tersebut.

5.6    Nilai dan Semak Semula

Guru dikehendaki menilai dan menyemak semula pengajaran yang dilakukan oleh guru dan pembelajaran yang diterima oleh pelajarnya di dalam kelas. Pengajaran dan pembelajaran ini mestilah seiring dengan perancangan awal yang telah dibuat oleh guru dalam menetapkan matlamat dan objektif pembelajaran. Guru membuat penilaian disepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran berlangsung dimana beberapa soalan ditimbulkan oleh guru dan guru melihat sendiri sejauhmana keberkesanan media yang dipilih oleh guru dapat membantu pelajar-pelajar Tahun 2 Dedikasi memahami tajuk “pergerakan lokomotor”. 

Kelakuan atau tindak balas pelajar boleh terus diukur dan disukat oleh guru secara terus semasa proses pengajaran berlangsung. Secara tidak langsung guru dapat menangani dan bertindak segera menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan cara menggunakan bahasa yang lebih sesuai dan lebih mudah difahami, serta melakukan perubahan teknik mengajar yang lebih berkesan dan berupaya membantu pelajar supaya lebih faham bersesuaian dengan tahap pelajar itu sendiri.

Langkah akhir dalam Model ASSURE ini adalah merupakan peringkat paling penting bagi menilai keseluruahan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dipilih, ditetapkan dan dilaksanakan. Di sinilah refleksi sebenar akan dibuat oleh guru hasil daripada pengajaran yang dilakukan dalam bilik darjah terhadap tahap keupayaan pelajarnya dan tahap keberkesanan pengajarannya. Setiap tindak balas positif mahupun negatif yang ditunjukkan oleh pelajar  hendaklah dikaji secara mendalam bagi memperbaiki dan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran guru. Refleksi yang dibuat dapat membantu guru untuk melakukan penambahbaikan dan seterusnya menyediakan satu set perancangan  yang lebih efisyen, efektif, tersusun dan seterusnya memperbetulkan apa-apa jua kesalahan dan kesilapan yang telah guru lakukan di setiap peringkat proses berdasarkan kepada model ASSURE ini.

6.0    Penutup

Berdasarkan kepada pemahaman saya berkenaan model ASSURE ini ialah persediaan dan perancangan awal guru adalah sangat penting dalam menyediakan bahan pengajaran yang menarik agar ianya dapat menarik minat pelajar untuk belajar dan membantu guru memudahkan tugas-tugasnya dalam mereka bentuk pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Bahan atau media hendaklah dibina terlebih dahulu sebelum reka bentuk perancangan pengajaran dilakukan. Gabungan antara keduanya iaitu pembinaan atau pemilihan bahan dan reka bentuk sistem pengajaran akan dapat memudahkan tugas guru dalam merangka program pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang berkesan. Penyampaian maklumat akan menjadi lebih mudah, menarik dan berkesan.

Guru perlu kreatif mencipta idea-idea baru bagi menarik minat dan citarasa pelajar masa kini yang rata-ratanya cenderung dalam teknologi-teknologi baru. Oleh yang demikian, guru perlu memantapkan diri, mempelajari dan mempraktikkan kemahiran tersebut seiring dengan minat pelajar masa kini yang lebih moden. Hasil kemajuan negara haruslah seiring dengan profesyen perguruan masa kini bagi melahirkan pelajar-pelajar yang berilmu, dan cemerlang dari pelbagai sudut. 


7.0    Rujukan


BUKU

1)    Yusup Hashim. (Cetakan 1997). Media Pengajaran Untuk Pendidikan Dan Latihan. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

2)    Yusup Hashim. (Cetakan 1998). Teknologi Pengajaran. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

3)    Noriati A.Rashid. Boon Pong Ying. Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. Wan Kamaruddin Wan Hasan. (Pertama Kali Diterbitkan 2009). Siri Pendidikan Guru; Teknologi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran. Oxford Fajar Sdn. Bhd. ( Dahulunya dikenali sebagai Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.)

4)    Muhamad Hasan Abdul Rahman. (Cetakan Kedua 2003). Media Pengajaran; Penghasilan Bahan Pengajaran Berkesan. AREMES (M) Sdn. Bhd.

5)    Kementerian Pelajaran  Malaysia. (2011). KBSR, Panduan Pengajaran Pendidikan Jasmani Tahun Dua. Bahagian Pembangunan Kurikulum.










No comments:

Post a Comment